Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Muslim, "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah."
Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata.
Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan.
Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya.
Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah SWT adalah terletak pada tahap ketaqwaan kepada Allah SWT.
Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.
Kemuliaan
dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun
mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah
segalanya.
Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah.
Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya.
Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih dan sayang.
Firman
Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat ke-24 yang bermaksud, "Barangsiapa
yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia
seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka
tidak dianiaya walau sedikitpun."
Dalam
Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana
eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga
lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.
Setiap
lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang
berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup
setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan Allah SWT.
Rasulullah
SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah
ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,
"Berlaku
baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang
rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk
meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia
akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." - Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Nilai
wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk
memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan,
rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.
Wanita
solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang
lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah
wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya hatta namanya
sekalipun.
Wajahnya bukan aurat tetapi ada kalanya ia menjadi aurat
Dalam mazhab syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah an-Nur.
Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya.
Ulama
Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan
tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap
menjadi aurat.
Wanita
yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti
akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya.
Mungkin
berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah
dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau
tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster,
facebook dan lain-lain.
Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat.
Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah SWT.
"Maka
janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit
nafsu orang yang ada penyakit hatinya." (Surah Al-Ahzab, 33)
Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi.
Pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib AS.
Bagaimana
mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai
pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian.
Nabi Musa AS telah mengambil alih tugas mereka.
Apabila
selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada
puteri tersebut mendatangi Nabi Musa AS dengan keadaan malu untuk
menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa AS ke rumahnya.
Daripada
peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita
yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum.
Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu.
Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).
Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina.
Berbual-bual
di telefon atau SMS di antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta
terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga dikira
sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.
Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."
Seorang
wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya
kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan
tersebut.
Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?
Maka, labuhkanlah tudungmu.
Ketahuilah
bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah
SAW,seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah
keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang telah menegurnya,
"Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang
perintah memakainya?"
Lalu
wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil
jilbabnya, lalu beliau berkata, "Aku tidak mahu selangkah pun aku
berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah SWT."
Malangnya
hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam; bertahun-tahun belajar
Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya.
Saudariku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan.
Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya.
Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan.
Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas.
Saudariku,
Hidup
ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja,
dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi
bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan
tidak punya apa-apa.
Seorang
raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia
dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja
itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja.
Matanglah
dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara,
kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya.
Janganlah
kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah SWT di
akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah SWT, nescaya kau akan hilang
segalanya.
Saudariku,
Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,
"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"
Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu.
Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja.
Muliakanlah dirimu dengan taqwa, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar